Thursday 11 August 2016

AMALAN GOTONG - ROYONG DAPAT MEWUJUDKAN, MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM DI KALANGAN KAUM.

             Marcapada, sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, warga watan makin hari makin menyisihkan isu perpaduan kaum. Sekiranya terlerai ikatan silaturrahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan mendampingi kehidupan masyarakat hari ini. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpanduan tersubur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 daripada berulang kembali.

            Pelbagai usaha yang boleh dilakukan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita. Antaranya ialah mengadakan aktiviti gotong - royong. Akitiviti gotong - royong ini merupakan saluran dan peluang bagi masyarakat di sesebuah kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini juga dapat memupuk semnagat kerjasama. Sebagai contoh, aktiviti gotong -royong yang boleh dijalankan ialah membersihkan kawasan perumahan, menghiasi jalan - jalan taman perumahan dengan menanam pokok - pokok bunga, membersih kawasan perkuburan, membersihkan surau dan sebagainya. Aktiviti gotong - royong ini dapat meringankan serta memudahkan sesuatu kerja yang sukar dilakukan secara bersendirian.

             Selain itu, amalan gotong - royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Ini kerana setiap tugas yang dilakukan adalah secara bersama - sama. Kerja yang dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara gotong -royong. Seperti kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Amalan gotong - royong juga membolehkan kita menjimatkan perbelanjaan. Dalam sesetengah keadaan, kita boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga 50%. Sebagai contoh, jika sesebuah majllis perkahwinan secara gotong - royong, kita tidak perlu membayar upah pekerja dan kos penyediaan makanan.

             Di samping itu juga, aktiviti gotong - royong dapat memupuk nilai - nilai murni dalam kehidupan kita. Amalan nilai - nilai ini amat penting dalam mewujudkan sesebuah masyarakat yang bertanggunggjawab. Antara nilai - nilai murni yang dapat dipupuk dalam aktiviti gotong - royong ialah bekerjasama, bertolak ansur dan kerajinan. Selain itu, aktiviti gotong - royong dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam masyarakat. Aktiviti gotong - royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum amat penting di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada kaum dan agama. Sesungguhnya, dengan wujudnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat, negara kita akan terus aman dan maju.

            Bergotong royong juga dapat memperindahkan tempat tinggal dan kawasan persekitaran menjadi bersih. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Amalan gotong - royong juga dapat membersihkan kawasan kediaman daripada menjadi sarang pelbagai penyakit seperti aedes.

           Kesimpulannya, kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan dan dipupuk sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di tempat tinggal.